Sunday, August 1, 2010

PERKAKASAN (HARDWARE)

Perkakasan komputer


Perkakasan komputer merujuk kepada bahagian-bahagian yang membentuk komputer yang lengkap. Istilah perkakasan atau peranti merujuk kepada keseluruhan peralatan fizikal pada sebuah komputer.


UNIT PEMPROSESAN PUSAT (CPU)

CPU atau unit pemprosesan pusat ialah salah satu bahagian di dalam komputer yang menterjemah dan melaksanakan arahan dalam perisian. Dalam kebanyakan CPU, tugas perlaksanaan ini dibahagi kepada Unit Pengawal (Control Unit) (yang mengawal aliran aturcara), dan satu atau lebih Unit Pelaksana (Execution Units) yang melakukan operasi terhadap data. Selalunya, satu koleksi daftar (register) disertakan sekali bagi menyimpan operator (operand) dan hasil proses. Istilah unit pemprosesan pusat juga merujuk kepada bahagian-bahagian pusat yang penting di dalam komputer, seperti cache dan pengawal input/output. Ini merujuk kepada komputer yang menggunakan cip mikropemproses moden. Fungsi-fungsi tersebut (cache, dan kawalan input/output) disertakan di dalam litar bersepadu. Kebiasaanya, pembekal/pengeluar komputer meja sering menggunakan istilah CPU untuk merujuk kepada kotak atau badan komputer (unit sistem) dan kandungannya. Penggunaan CPU di sini adalah kurang tepat dan mengelirukan.Reka bentuk CPU sering disebut sebagai seni bina CPU.

Seni bina CPU boleh juga dikelaskan mengikut rekabentuk CPU, seperti saiz daftar. Pada hari ini, kebanyakan komputer meja mempunyai pemproses 32-bit, dan pemproses 64-bit juga semakin digunakan. Peralatan yang kecil seperti telefon bimbit, PDA, dan permainan video mudah alih menggunakan pemproses 16-bit, atau 8-bit.


PAPAN INDUK (MOTHERBOARD)

Papan induk, juga dikenali sebagai papan utama (mainboard MoBo) atau papan sistem (systemboard), merupakan pusat atau papan litar bercetak (printed circuit board) utama yang terdiri daripada sistem eletronik rumit, seperti komputer. Komputer biasa dibina dengan mikropemproses, ingatan komputer utama, dan komponen asas lain pada papan induk. Komponen lain komputer seperti ruang simpan luaran (external storage), litar pengawal bagi paparan video dan bunyi, dan perkakasan persisian (peripheral device) biasanya dilekatkan pada papan induk melalui kabel atau penyambung.



Komponen papan induk

Sejagat

Kesemua papan induk mempunyai sama ada komponen teras atau pilihan lain untuk berfungsi.

• soket CPU (direka untuk memegang CPU)
• Slot RAM
• Northbridge
• Southbridge

Slot tambahan

Jumlah dan jenis slot tambahan ditentukan oleh pengilang papan induk bergantung kepada had set chip teras (core logic chipset). Jenis slot biasa termasuk:

• ISA
• PCI
• AGP
• PCI-Express

Antaramuka tambahan pilihan

Komponen berikut adalah pilihan, walaupun ekonomi pasaran menjadikan sebahagiannya mesti ada dalam komputer moden.

• Pengawal IDE
• Pengawal ATA selari (serial )
• Port USB
• Port FireWire
• Bluetooth
• Antaramuka Ethernet



INGATAN CAPAIAN RAWAK (RAM)

Ingatan capaian rawak atau random access memory (RAM) ialah sejenis bentuk storan data komputer. Lazimnya ia merupakan gabungan beberapa litar bersepadu di atas satu modul. Modul ingatan ini kemudian dimasukkan ke slot RAM di atas papan induk. Jumlah kapasiti pada sesuatu modul RAM itu biasanya gandaan dari angka dua. Manakala unit ukuran yang digunakan untuk mengukur RAM pula ialah Megabait (MB). 1 MB bersamaan dengan 100 Kilobait (KB). Contoh kapasiti modul RAM ialah 64 MB, 128 MB dan 256 MB. Kebanyakan papan induk mempunyai sekurang-kurangnya 2 slot modul ingatan. Ini membolehkan beberapa modul ingatan dimasukkan di atas papan induk (bank ingatan). Teknologi “saluran duaan” berteraskan kepada dua modul yang kecil untuk membentuk satu kapasiti yang besar. Ini membolehkan capaian data pada kadaran yang lebih cepat. Misalnya untuk memiliki jumlah sebanyak 512 MB, kadar capaian data untuk dua keping modul 256 MB adalah lebih cepat berbanding dengan satu memori modul sebanyak 512 MB.

Kegunaan RAM

Kegunaan utama RAM adalah untuk menyimpan maklumat-maklumat sementara yang sedang digunakan oleh aplikasi-aplikasi yang sedang berjalan. Oleh itu, RAM hanyalah ingatan sementara dan akan terpadam apabila komputer ditutup berbanding dengan cakera keras atau cakera optik yang mempunyai ingatan secara kekal. RAM digunakan kerana ingatan (memory) sementara tersebut boleh dicapai dengan rawak dangan kadar yang lebih pantas. Oleh itu, lebih besar ruang (diukur dengan Bait) dan kelajuan (diukur dengan Hertz) sesuatu RAM sangat mempengaruhi potensi sesebuah komputer. Jumlah kapasiti yang lebih besar diperlukan dalam perisian-perisian CGI, permainan berkomputer dan simulator. Ini adalah kerana perisian tersebut lebih banyak menyimpan ingatan sementara.

Kebaikan RAM

Antara kebaikan RAM ialah pengendalian aplikasi yang lebih lancar dan juga mempunyai kadar perpindahan data yang lebih tinggi berbanding dengan cakera keras. Kos pembuatan RAM juga rendah dan bersifat PnP “plug and play” dimana modul memori boleh terus digunakan selepas dipasang.

Ingatan fizikal dan ingatan maya

“Ingatan fizikal” ialah jumlah kapasiti memori yang dimasukkan ke dalam komputer yakni modul-modul RAM. Manakala “ingatan maya” ialah jumlah kapasiti memori secara maya. “Ingatan maya” ditempatkan di dalam cakera keras sebagai pengganti “ingatan fizikal”/RAM apabila kapasitinya sudah penuh. Namun, “ingatan maya” mempunyai kadar perpindahan data yang lebih rendah berbanding “ingatan fizikal”.Secara umumnya, jumlah optimum ruang cakera keras yang perlu diperuntukkan untuk dijadikan ruang ingatan maya ialah bersamaan 1.5 kali jumlah ingatan fizikal yang dipasang pada komputer, contohnya jika komputer anda dilengkapi dengan 1 GB RAM, anda perlu memperuntukkan sebanyak 1.5 GB ruang cakera keras untuk dijadikan ruang ingatan maya.



BIOS (BASIC INPUT/OUTPUT SYSTEM)

BIOS, dalam pengkomputan, merupakan singkatan kepada Basic Input/Output System (Sistem Input/Output Asas) atau Basic Integrated Operating System (Sistem Pengendalian Bersepadu Asas). BIOS merujuk kepada kod perisian yang dijalankan oleh komputer apabila ia mula dihidupkan. Fungsi utama BIOS ialah untuk menyediakan mesin supaya aturcara perisian lain yang disimpan di dalam pelbagai bahantara (seperti cakera keras, cakera liut dan CD) boleh dimuat, dilaksana dan mengambil alih komputer tersebut. Proses ini dikenali sebagai but (booting up). BIOS juga boleh dikatakan sebagai atur cara berkod yang dibenamkan ke dalam suatu cip yang mengenali dan mengawal papan ibu serta pelbagai peranti komputer. Istilah BIOS adalah khusus untuk komputer peribadi. Untuk jenis komputer lain, istilah generik boot monitor, boot loader atau boot ROM biasa digunakan. Walaupun nama BIOS itu adalah akronim, ia boleh menjadi permainan kata Greek βιος (bios), yang bermaksud kehidupan. Istilah ini pertama kali muncul dalam sistem pengendalian CP/M, memerikan bahagian CP/M yang dimuat ketika masa but yang mengantara muka terus dengan perkakasan (mesin CP/M biasanya hanya mempunyai pemuat but mudah dalam ROM). Kebanyakan versi DOS mempunyai fail bernama "IBMBIO.COM" atau "IO.SYS" yang seakan-akan BIOS cakera CP/M.


BEKALAN KUASA KOMPUTER (POWER SUPPLY UNIT)

Unit bekalan kuasa komputer (PSU) atau Unit Bekalan Kuasa Bermodul (MPS) biasa direka untuk menukarkan bekalan kuasa arus ulang alik 100-120 V (Amerika Utara dan Jepun) atau 220-240 V (Eropah, Asia, dan Australia) dari bekalan sesalur menjadi kuasa arus terus voltan rendah yang boleh digunakan untuk komponen-komponen di dalam komputer. Kebanyakan unit bekalan kuasa komputer dibina bagi mematuhi faktor bentuk ATX. Spesifikasi terkini bagi piwaian ATX standard adalah versi 2.2, dikeluarkan pada 2004. Ini membolehkan bekalan kuasa berlainan ditukar dengan komponen lain dalam komputer. Bekalan kuasa ATX juga direka bagi dihidupkan dan dimatikan dengan menggunakan isyarat dari papan induk (wayar PS-ON, yang boleh dilencong ke tanah bagi menghidupkan PSU dari luar komputer), dan memberikan sokongan bagi fungsi moden seperti mod bersedia yang terdapat pada kebanyakan komputer.

Penilaian kuasa
Bekalan kuasa komputer dinilai mengikut kuasa keluaran maksimum. Julat kuasa biasa adalah dari 300 W hingga 500 W (kurang dari 300 W untuk sistem faktor bentuk kecil (small form factor). Bekalan kuasa yang digunakan pemain dan penggemar pula boleh mencapai dari 500 W hingga 1000 W, dengan unit tertinggi sehingga 2 kW untuk pelayan dan komputer prestasi ekstrem dengan pemproses berganda, beberapa cakera keras dan kad grafik berbilang (ATI CrossFire atau NVIDIA SLI).



KAD VIDEO (GRAPHIC CARD)

Kad video ataupun dirujuk sebagai kad pemecutan grafik, adapter paparan, kad grafik, dan bermacam-macam istilah lain, ialah sejenis barang yang digunakan di dalam perkakasan komputer peribadi yang berfungsi sebagai penjana dan mengeluarkan imej-imej paparan komputer. Kad video mempunyai fungsi yang serupa dengan prinsip-prinsip kad bunyi dan alatan persisian yang lain.Istilah kad video ini dicipta untuk memisahkan diantara kad yang boleh disambung ke dalam slot dengan grafik bersepadu yang terus digabungkan dengan papan ibu (motherboard) . Cip pengawal grafik graphic controller diatas kad video tersebut dipanggil Unit pemprosesan grafik, yang merupakan komponen utama didalam kad ini.Kad video dihasilkan dengan menggabungkan BIOS (Basic Input/Output System), RAMDAC Random Access Memory Digital-to-Analog Converter, cip RAM dan Unit Pemprosesan Grafik (GPU).



CAKERA KERAS (HARD DISK)

Cakera keras (hard disk) merujuk kepada komponen yang digunakan bagi menyimpan data, yang terpasang di dalam komputer dan dapat menyimpan data dengan lebih banyak berbanding dengan penyimpan data mudah alih seperti cakera liut, cakera mini, CD-ROM, atau pita.Cakera keras disambungkan ke papan induk sama ada menggunakan antaramuka SATA ataupun IDE yang juga dikenali sebagai ATA selari.Mekanik Data-data dalam cakera keras disimpan di permukaan piring magnetik yang berputar. Maklumat disimpan dengan menghantar fluks elektromagnet melalui satu antena atau kepala tulis (write head) yang amat berdekatan dengan permukaan piring, yang menjadikan permukaan magnetik itu menukar polarisasinya. Begitu juga maklumat dapat dibaca, apabila medan magnetik piring menghasilkan cas elektrik pada kepala baca (read head) yang menghampirinya.Secara fizikal, cakera keras dibina daripada satu paksi tengah dan piring magnet itu akan berpusing pada satu kelajuan tetap. Dan diantara piring-piring tersebut terdapat satu kepala baca/tulis untuk setiap permukaan pada satu angker (armature) umum. Angker itu akan mengerakkan kepala ke mana-mana bahagian yang dikehendaki.



KAD BUNYI (SOUND CARD)

Kad bunyi adalah kad tambahan komputer yang boleh menerima input dan mengeluar output bunyi dengan kawalan perisian.Kad bunyi yang biasa termasuk cip bunyi biasanya mempunyai ciri penukar digit ke analog yang menukarkan bunyi gelombang digit atau dirakamkan kepada format analog. Isyarat ini dialirkan kepada penyambung (jenis fon telinga) di mana kabel penyambung kepada amplifier atau destinasi seumpamanya boleh dicucuk masuk.Kad bunyi juga mempunyai penyambung "line in" di mana signal bunyi dari perakam pita atau sumber bunyi seumpamanya boleh disambungkan. Kad bunyi boleh mendigitkan isyarat ini dan menyimpannya (dikawal oleh perisian komputer selaras) pada cakera keras komputer.)Sambungan luar biasa pada kad bunyi biasa, digunakan untuk menyambung secara langsung kepada mikrofon. Bunyinya boleh dirakamkan kepada cakera keras atau di proses (sebagai contoh perisian pengecaman pertuturan atau untuk Suara melalui IP ( Voice over IP )).Salah satu pengeluar kad bunyi bagi IBM PC merupakan AdLib, yang menghasilkan kad berasaskan cip bunyi Yamaha YM3812, dengan itu aka OPL2. Set ini merupakan piawaian-de facto sehingga Creative Labs menghasilkan kad Sound Blaster, yang mempunyai YM3812 tambah kopemproses bunyi (jangkaannya mikropengawal Intel) yang secara kreatif dipanggil "DSP" oleh Creative, yang membayangkan ia merupakan pemproses isyarat digital; beberapa tahun berlalu sebelum Creative menghasilkan kad yang mampu merakam dan menghasilkan bunyi semula pada masa yang sama, tanpa menyentuh tentang menghasilkan prosessing secara langsung. Sound Blaster, bersama pemacu CD-ROM murah pertama dan teknologi video yang berkembang, membawa masuk era baru keupayaan komputer, di mana ia mampu memainkan kembali audio CD, menambah dialog pra-rakam pada permainan komputer, dan juga memainkan wayang (walaupun dalam bentuk klip pendek dan kualiti yang rendah, tidak setanding dengan video digit moden.).Kad bunyi awal tidak mampu merakam dan menghasilkan bunyi serentak. Kebanyakan kad bunyi masakini adalah dupleks penuh.Akhir 1990-an banyak pengeluar komputer mula menggantikan kad bunyi cucuk masuk dengan codec yang disertakan bersama papan induk. Kebanyakkannya menggunakan spesifikasi AC97 Intel. Pengeluar yang lain menggunakan slot ACR yang lebih murah.



PERANTI MASUKAN

Peranti input (peranti masukan) ialah mana-mana perkakasan komputer persisian yang memberikan data dan isyarat arahan kepada sistem pemprosesan maklumat (seperti komputer).


Papan kekunci (Keyboard)


Papan kekunci merupakan peranti yang selalu digunakan dan paling popular untuk memasukkan data ke dalam komputer.Papan kekunci hari ini pada amnya menggunakan litar bersepadu untuk menjalankan empat fungsi-fungsi tertentu seperti di bawah.

• menentukan gabungan 1 dan 0,iaitu kod perduaan, untuk dihantar ke CPU bergantung kepada kekunci yang ditekan.
• bersaling tukar antara kekunci besar dan kekunci kecil.
• mengulangi kod kekunci jika kekunci tersebut ditekan lama.
• menyimpan secara sementara atau "menimbal" masukan jika kekunci ditaip terlalu pantas.

Penyusunan papan kekunci yang memberikan piawaian kepada kebanyakan papan kekunci adalah penyusunan QWERTY, yang diberi nama mengikut huruf pertama pada baris atas di sebelah kiri. Ia biasanya mempunyai 101 kekunci.Penyusunan ini dibuat bertujuan untuk melambatkan jurutaip yang mahir, kerana penaipan yang terlalu pantas akan merosakkan kekunci mekanik pada mesin taip. Untuk memperlahankan jurutaip, huruf-huruf yang paling biasa digunakan diletakkan berserak di atas papan kekunci, menyebabkan gabungan yang biasa digunakan sukar dan lambat ditaip. Penyusunan papan kekunci QWERTY ini telah digunakan hampir satu abad yang lalu.Papan kekunci mempunyai pengawal (controller) dan penimbal (buffer) kekunci. Segala yang ditaip akan disimpan dalam penimbal (boleh lebih daripada satu simbol disimpan) dan kemudiannya akan diimbas oleh pemproses komputer setelah menerima isyarat sampukan (interrupt) daripada pengawal kekunci.


Tetikus

Tetikus ialah peranti input ke komputer yang berfungsi mengawal gerakan penunjuk atau kursor pada skrin paparan. Ia merupakan peranti kecil yang bergerak di atas permukaan keras dan rata.
Tetikus ini amat diperlukan terutamanya sekali apabila menggunakan sistem pengendalian tetingkap ( Window ) seperti Microsoft Windows, Linux dll. Tetikus memudahkan seseorang pengguna untuk mengendalikan perisian animasi, grafik, dan atur cara penerbitan meja. Apabila tetikus digerakkan, penunjuk pada skrin paparan akan bergerak dalam arah yang sama dan ia akan berubah mengikut lokasi di mana tetikus tersebut berada.Input tetikus juga biasanya digunakan untuk domain atur cara penggunaan yang khusus. Dalam grafik tiga dimensi interaktif, gerakan tetikus seringnya ditukar secara langsung menjadi perubahan orientasi kamera maya. Misalnya, dalam permainan genre penembak diri pertama, pemain biasanya menggunakan tetikus untuk mengawal arah yang dihadap oleh "kepala" pemain maya. Menggerakkan tetikus ke arah atas skrin akan menyebabkan pemain melihat ke atas dan mendedahkan pemandangan di atas kepala pemain.Mouse, nama tetikus dalam bahasa Inggeris, dicipta oleh Institut Penyelidikan Stanford dan berasal daripada persamaan model tetikus yang awal (yang memiliki kord pada bahagian belakang peranti yang kelihatan seolah-olah ekor) dengan tikus. Penerbitan perkataan mouse pertama yang diketahui adalah dalam terbitan Computer-Aided Display Control oleh William English pada tahun 1965.




PERANTI KELUARAN

Peranti output ialah mana-mana kelengkapan perkakasan komputer yang digunakan untuk menyampaikan hasil pemprosesan data yang dilakukan oleh sistem pemprosesan maklumat (seperti komputer) kepada dunia luar, manakala input/output (I/O) merujuk kepada komunikasi tersebut. Sebaliknya, output ialah syarat atau data yang dihantar oleh sistem ke luar, berbeza dengan input yang merupakan isyarat atau data yang dihantar kepada sistem.Peranti output yang paling biasa digunakan ialah monitor, pencetak dan pembesar suara.

1 comment: